myMetro | Hijjaz kembali ligat
SEPANJANG tahun lalu kumpulan nasyid Hijjaz dihambat kontroversi
kegagalan penghantaran bakal jemaah umrah ke Tanah Suci Makkah menerusi
syarikat mereka Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn Bhd dan ia masih
belum selesai.
Meski apa saja rintangan dan halangan yang melanda kumpulan itu,
namun semangat juang untuk berdakwah menerusi lagu nasyid tetap utuh
dalam sanubari dan menganggap ia bukanlah penamat kepada perjuangan
mereka kerana mereka yakin apa jua masalah yang datang pasti ada jalan
keluar. Hijjaz juga bersyukur kerana mereka terus mendapat sokongan
peminat.
Pada 16 September nanti, Hijjaz bekerjasama dengan Amity Enterprise
dari Ipoh, Perak menganjurkan program Berkampung Bersama Hijjaz Sempena
Akhir Syawal bertempat di Taman Tema Lost World Of Tambun Ipoh.
Amir Hamzah Aumran dari Amity Enterprise yang juga pengarah projek itu
berkata, pihaknya berminat untuk menganjurkan program itu kerana Hijjaz
ramai peminat daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa.
“Saya memilih Hijjaz kerana sejak sekolah sehingga belajar di
pusat pengajian tinggi saya amat meminati mereka yang antara kumpulan
nasyid paling awal ditubuhkan, memiliki identiti sendiri dan kekal
sampai sekarang.
“Apabila sudah dewasa dan menubuhkan syarikat pengurusan acara
sendiri dengan bantuan rakan-rakan, saya berhasrat bekerjasama dengan
Hijjaz bagi menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.
“Irama
kerohanian dan ketuhanan yang mereka perjuangkan sejak lama dulu menjadi
santapan rohani amat diperlukan untuk menjadi umat Islam yang baik
dalam usaha mendapat keredaan Allah SWT. Kalau band yang ada pada hari
ini datang dan pergi tetapi kumpulan nasyid terus bertahan,” katanya.
Oleh itu Amir yakin program sehari itu akan mendapat sambutan baik
yang mana mereka mensasarkan penyertaan 5,000 peminat. Program itu
bermula dari jam 10 pagi hingga 11 malam yang diisi dengan pelbagai
acara.
Aktiviti yang dinamakan Kembali Ke Kampung akan
menggamit semula nostalgia zaman nenek moyang kita dulu. Sekarang tidak
kelihatan lagi kanak-kanak menarik upih di kampung, tiada lagi permainan
galah panjang ataupun congkak yang menggunakan biji getah. Bukan lagi
perkara yang luar biasa apabila ada kanak-kanak zaman sekarang tidak
kenal pokok getah, apatah lagi biji getah.
“Kami akan membawa
segala permainan tradisional itu semula. Pasti ia menarik dan sesiapa
yang teringat semula kisah lamanya dulu, tentu akan tersenyum sendiri,
kami akan tukarkan Lost World Of Tambun menjadi perkampungan Melayu,”
katanya.
Antara aktivitinya termasuklah acara Mengacau
Dodol, Menganyam Ketupat, Bermain Congkak, Explorace, Tarik Tali, Tarik
Upih, Lari Dalam Guni, Batu Seremban, Permainan Air, Futsal dan Bola
Tampar Pantai.
Selepas solat Zuhur, acara diteruskan dengan
gimik daripada penganjur dan aktiviti bebas di mana peserta boleh
mandi-manda dan mencuba aneka permainan yang ada di taman tema itu.
Seterusnya pada sebelah malam diadakan majlis makan malam bertemakan
Jom Balik Kampung, disusuli ceramah daripada tokoh agama terkenal dan
persembahan istimewa Hijjaz. Acara itu akan berakhir sekitar jam 11
malam.
Mereka yang ingin menyertai program itu dan mahu
mendapatkan maklumat lanjut, layari
http://berkampungbersamahijjaz.blogspot.com. Penyertaan sedang dibuka
dan tarikh akhir pendaftaran pada 1 Jun ini.
Tambah Amir, bagi
merapatkan kemesraan dengan anggota Hijjaz iaitu Isman, Munif, Faizal
dan Ariffin, mereka akan dipecahkan untuk mewakili kumpulan
masing-masing.
“Sebagai ketua kumpulan untuk kumpulan mereka
sendiri, kami reka kemeja-T yang berbeza corak dan warna untuk setiap
anggota Hijjaz,” katanya.
Pada hari itu nanti, Amity Enterprise turut menjemput 30 anak yatim dari sekitar negeri Perak.
myMetro | Hijjaz kembali ligat